Friday, January 7, 2011

CIRI-CIRI KEMENANGAN

Setiap hari kita mendengar bilal melaungkan Haiyaalafallah (Marilah menuju kemenangan) dalam laungan azan lima kali sehari. Apakah kemenangan yang dimaksudkan? Dalam Al Quran ada tiga istilah yang dimaksudkan dengan kemenangan iaitu "al falah","al fawzu" dan "al Nasr".
Kita perlu mengetahui ciri-ciri kemenangan agar dapat tergolong di dalam hamba-hamba Allah yang mendapat kemenangan di dunia dan di akhirat.
Antara ciri atau sifat yang membawa kemenangan yang digambarkan dalam Al Quran ialah seperti berikut:


  • Orang-orang yang membersihkan jiwanya - Al A’la ayat 14.
  • Orang-orang yang mendapat petunjuk tuhan. - Al Baqarah ayat 5
  • Orang menyeru kepada yang baik dan menegah dari perkara yang mungkar - Al Imran ayat 104
  • Orang yang beriman dengan Rasulullah, yang memuliakannya, yang menolong dan membelanya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkannya - Al A'raf ayat 157
  • Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya - At Taubah ayat 88
  • Orang yang beriman dan taat serta patuh. - An Nur ayat 51
  • Orang yang membelanjakan sebahagian rezekinya kepada kaum keluarga, orang miskin dan musafir yang perlukan bantuan. - Ar Rum ayat 38
  • Orang yang dipelihara dari kebakhilan. - At Taghaabun ayat 16
  • Orang mukmin yang khusyuk sembahyangnya, yang menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia, yang membayar zakat, yang memelihara kemaluannya, yang memelihara amanah dan janji dan orang yang menjaga ibadah sembahyangnya. - Al Mukminun ayat 1-11.
  • Orang yang bertakwa. - Al Maidah ayat 100
  • Orang yang bertaubat. - An Nur ayat 31
  • Orang yang mengingati Allah. - Al A'Raf ayat 69
  • Orang yang sujud dan rukuk yang mengabdi kepada Allah dan membuat kebaikan. - Al Hajj ayat 77
  • Orang yang berat timbangan amalnya. - Al Mukminun ayat 102



Marilah kita menyemak diri kita sama ada ciri-ciri yang disenaraikan di atas telah ada dalam diri kita. Jika tidak ada, maka kita tidak tergolong dalam golongan yang akan mendapat kemenangan dalam hidup ini. Bertindaklah dari sekarang kerana penamat hidup kita mungkin akan tiba esok!!!

No comments:

Post a Comment